14 SEPTEMBER 2024, KUALA LUMPUR – Kebun Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin hari ini melakar sejarah baru dengan perasmian penggunaan Tenaga Solar bagi menjana keperluan elektrik kebun, menjadikan ia projek pertama seumpamanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara.
Majlis perasmian ini dirasmikan oleh Dr. Beh Sang How, Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Wilayah Kuala Lumpur, yang turut disertai oleh penduduk setempat dan beberapa rakan strategik yang terlibat.
“Mutakhir ini, kerajaan menekankan kelestarian hijau dalam pembangunan negara dan juga komuniti. Manfaat projek Tenaga Solar ini juga membantu mengurangkan jejak karbon, sejajar dengan usaha global ke arah amalan kelestarian.”
“Kami sangat berbangga dengan pelaksanan projek tenaga solar ini yang bukan sahaja membawa manfaat kepada penduduk PPR Beringin, tetapi juga mempromosikan penggunaan teknologi hijau. Inisiatif ini membuktikan bahawa tenaga boleh diperbaharui adalah masa depan kita dan boleh diakses oleh semua, termasuk komuniti bandar,” Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Beh Sang How.